08 March 2014

Pengalaman Bersalin (PART 1)


Pagi itu lebih kurang pukul 5.30 pagi, saya tersedar dari tidur disebabkan rasa basah. Terus saya ke tandas dan saya dapati ada lendiran yang keluar berserta darah. MasyaAllah, petanda nak bersalin makin dekat. Terus saya ke bilik dan mencapai telefon bimbit dan mendail nombor suami. Saya memberitahu suami bahawa saya pecah air ketuban, suami pula macam percaya tak percaya. Dia terus bertanya, “ betul ke Ja “? Saya menjawab,  “ betul Abang ”.

Kebetulan malam itu suami tidak balik sebab menguruskan ruang pejabat di Qalbu Syifaa. Tidak ketinggalan, saya mengejutkan adik ipar saya dan menelefon adik-beradik saya untuk memaklumkan keadaan saya. Pada masa turun darah, saya tidak terasa sakit. Setelah berbincang, kami tidak terus ke hospital. Saya meminta suami membelikan saya makanan dan juga merebus telur masak separuh. Orang kata sebelum ke hospital lebih elok makan telur ayam kampong kerana memberi tenaga semasa meneran baby. Namun pada masa itu, di rumah kehabisan telur ayam kampung, jadi saya guna telur ayam biasa.

Suami saya tidak ketinggalan berpesan agar melakukan zikir dan berselawat. Saya segera menggapai tasbih. Perasaan masa itu takut serta tidak sabar menunggu kelahiran anak pertama. Pada masa itu, saya cuba sambung tidur tapi tidak boleh. Bukan sebab takut tapi sebab berdebar dan gelisah. Adik-beradik saya pula tidak henti menelefon menanyakan keadaan saya. Saya belum merasai kesakitan. Kemudian Kak Moh, kakak sulung saya menelefon dan memberitahu lebih baik saya segera ke hospital sebab jika air ketuban dah pecah, nanti baby akan lemas. Ibu mertua pun menasihati saya ke hospital.

Kemudian, saya ke hospital ditemani Ummi iaitu ibu mertua saya dan juga suami. Sampai di wad bersalin, saya masuk ke labour room dan jururawat meminta menukar pakaian. Saya memberitahu bahawa saya pecah air ketuban. Selepas itu, jururawat memeriksa bukaan jalan. Baru 2 cm, dan jururawat memberitahu saya akan dimasukkan ke wad sementara menunggu bukaan 4 cm. Saya dihantar ke wad bersalin, pada masa itu lebih kurang 9.50 pagi.

Disebabkan saya masih lagi belum merasai kesakitan semasa di dalam wad, saya sempat lagi berkenalan dengan penghuni wad. Ada yang masuk wad sebab masa mengandung ada kencing manis, ada yang alahan semasa mengandung dan ada juga yang baru bersalin. Kemudian saya berkenalan dengan seorang kakak tu, tapi saya lupa tanya nama dia. Kakak tu dia pun turun darah macam saya dan tak rasa sakit juga. Jadi kami berdua bersembang dan membincangkan mengenai tak rasa sakit lagi untuk bersalin.

Selepas zuhur, saya agak sedih sebab jururawat datang tanya saya, jika berlaku apa-apa, nak dihantar ke hospital mana sama ada Kuala Krai, Tanah Merah atau Kota Baharu. Jururawat tanya lagi sama ada saya pecah air ketuban atau macam mana. Diringkaskan cerita, sebenarnya saya bukan pecah air ketuban, saya turun darah. Jururawat bimbang jika pecah air ketuban, sepatutnya dah hampir nak bersalin.

Contraction bermula dalam pukul 3 petang. Sakit datang kejap-kejap. Kemudian saya memberitahu jururawat dan pukl 4.30 petang sekali lagi jururawat memeriksa bukaan jalan. Baru 3 cm. Saya tidak sabar menunggu pukul 5 petang waktu melawat. Sebelum itu saya memesan kepada Kak Dah agar membawa telur ayam kampong. Suami saya datang semasa waktu melawat, kemudian Kak Yah, Kak Dah dan Mak Su pun turut datang. Lupa saya nak memperkenalkan, Kak Yah adalah kakak saya yang kedua, Kak Dah pula kakak yang ketiga manakala Mak Su adalah mak tiri saya. Setelah ibu saya meninggal dunia, ayah saya mengahwini Mak Su.

Sebenarnya saya cukup terharu apabila adik-beradik saya datang melawat saya di hospital. Saya makan dua biji telur ayam kampong dan air tradisional yang dibawa oleh Kak Yah. Itu bukan air selusuh. Kebanyakkan orang yang bersalin aka nada air dan minyak selusuh. Tapi saya tak ada, saya bermohon pada Allah supaya dipermudahkan. Sejak turun darah sehingga dalam wad, saya pegang tasbih dan tak henti berselawat. Okay selepas itu saya minum air herba tersebut, contraction makin kuat. Masa itu keluarga saya ada, saya jadi sebak. Saya menangis sebab saya sebak dan juga sakit contraction yang datang. Mungkin sebab saya seorang yang mempunyai jiwa sensitif, mudah terharu. Saat-saat itu masih lagi dalam ingatan saya. Buat ahli keluarga saya dan ahli keluarga sebelah suami, terima kasih saya ucapkan. Mungkin saya tidak mampu membalasnya namun saya berdoa agar apa yang kalian buat mendapat rahmat dan ganjaran di sisi Allah SWT.

Cerita ini belum habis lagi, inshaallah saya akan kongsikan pengalaman seterusnya. 

2 comments:

  1. Wah, berdebarnya cerita.
    Ja bersalin di hospital mana?

    Natrah Mohamed,
    http://JurnalNM.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Saya bersalin Hospital Machang di Kelantan :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...