Sekarang saya akan kongsikan apa yang berlaku selepas Maghrib. Waktu melawat di hospital dari pukul 5 petang sehingga pukul 7 malam. Saya sempat berpesan kepada suami agar jangan balik, tunggu sehingga saya bersalin. Kemudian adik-beradik saya pulang ke rumah, sebab esok mereka ada perlu bekerja.
Saya mengadu kepada jururawat yang bertugas yang saya semakin sakit, kemudian jururawat menyuruh saya ke satu bilik untuk memeriksa bukaan jalan. Selepas itu, jururawat memberitahu bukaan jalan sudah 5 cm. Apabila bukaan jalan 4 cm, itu bermakna kita akan dimasukkan ke labour room untuk menunggu bersalin. Kemudian saya membawa air yang Kak Yah bagi, jururawat meminta saya membawa pakaian baby. Jururawat menolak saya dengan menggunakan wheel chair, pada masa sama saya terus menelefon suami saya akan masuk ke labour room dan bukaan jalan sudah 5 cm.
Setelah masuk ke dalam labour room, saya mengadu lagi kepada jururawat bahawa saya sakit. Sakit itu makin kerap, makin kerap. Saya tak dapat bayangkan macam mana rasa sakit itu. Kemudian saya meminta jururawat memanggil suami saya masuk sekali ke dalam labour room. Tidak lama kemudian suami saya masuk ke dalam labour room, sakit itu makin kerap. Pada masa saya sakit, suami cuba mengurut dan memegang saya sebagai tanda memberi semangat. Suami juga sempat berpesan selawat banyak-banyak. Semasa suami saya menyentuh saya semasa saya sakit, saya menepis tangan suami kerana pada masa itu, saya tidak mahu disentuh.
Ketika sakit, saya tidak boleh makan dan tidak boleh bercakap, cuma mampu menarik nafas. Saya masih ingat semasa contraction berlaku, saya pejam mata. Yang pasti contraction itu datang kejap lepas itu hilang kemudian datang semula. Tidak lama selepas itu, bukaan jalan sudah 9 cm dan jururawat mahu menunggu bukaan jalan 10 cm. Saya masuk ke dalam labour room lebih kurang pukul 8 malam.
Kemudian, seingat saya suami saya membisikkan di telinga saya sudah nampak rambut baby. Pada masa ini, saya belum meneran baby. Selepas itu, jururawat meminta saya meneran. Saya cuba lakukan seperti apa yang saya baca. Melalui bacaan saya, semasa meneran kita perlu mengangkat kepala sehingga pusat dan teran. Sebelum teran perlu ambil nafas dan pandai curi nafas. Alhamdulilah dua orang jururawat yang begitu bersemangat menyuruh saya teran, menyuruh saya kacip gigi semasa meneran. Memamg suasana labour room agak bersemangat dengan semangat jururawat yang menyambut baby saya.
Apa yang melucukan, semasa meneran anak, saya memejam mata. Sedar-sedar saya sudah melahirkan anak. Yang pasti saya dengar apa kata jururawat dan suara suami saya. Tidak lama kemudian, keluarlah putera sulung saya. Lahirnya seorang khalifah kecil pada 5 February 2014 pada pukul 9.15 malam seberat 2.87 kg. Selepas itu suami saya mengazankan anak dan saya dengar tangisan suami. Ini menyebabkan saya semakin sebak, saya turut menangis. Ya Allah, terima kasih atas anugerah yang Engkau berikan kepada kami suami isteri. Sesungguhnya tidak rugi aku bersabar selama ini, dan anugerah ini amat bernilai bagi kami suami isteri.
Tidak lama kemudian, jururawat meletakkan baby ke atas dada ku. Baby menangis dengan kuat dan apabila menyentuh dadaku, anakku berhenti menangis seolah-olah dia mengetahui bahawa dia bersama dengan ibunya. MasyaAllah perasaan itu tidak dapat digambarkan.
Alhamdulilah. Jururawat jahit sebanyak dua jahitan. Saya bersalin secara normal dan saya dapat tahu saya bersalin secara intake. Alhamdulilah semuanya selamat. Syukur alhamdulilah.




