08 March 2014

Pengalaman Bersalin (PART 1)


Pagi itu lebih kurang pukul 5.30 pagi, saya tersedar dari tidur disebabkan rasa basah. Terus saya ke tandas dan saya dapati ada lendiran yang keluar berserta darah. MasyaAllah, petanda nak bersalin makin dekat. Terus saya ke bilik dan mencapai telefon bimbit dan mendail nombor suami. Saya memberitahu suami bahawa saya pecah air ketuban, suami pula macam percaya tak percaya. Dia terus bertanya, “ betul ke Ja “? Saya menjawab,  “ betul Abang ”.

Kebetulan malam itu suami tidak balik sebab menguruskan ruang pejabat di Qalbu Syifaa. Tidak ketinggalan, saya mengejutkan adik ipar saya dan menelefon adik-beradik saya untuk memaklumkan keadaan saya. Pada masa turun darah, saya tidak terasa sakit. Setelah berbincang, kami tidak terus ke hospital. Saya meminta suami membelikan saya makanan dan juga merebus telur masak separuh. Orang kata sebelum ke hospital lebih elok makan telur ayam kampong kerana memberi tenaga semasa meneran baby. Namun pada masa itu, di rumah kehabisan telur ayam kampung, jadi saya guna telur ayam biasa.

Suami saya tidak ketinggalan berpesan agar melakukan zikir dan berselawat. Saya segera menggapai tasbih. Perasaan masa itu takut serta tidak sabar menunggu kelahiran anak pertama. Pada masa itu, saya cuba sambung tidur tapi tidak boleh. Bukan sebab takut tapi sebab berdebar dan gelisah. Adik-beradik saya pula tidak henti menelefon menanyakan keadaan saya. Saya belum merasai kesakitan. Kemudian Kak Moh, kakak sulung saya menelefon dan memberitahu lebih baik saya segera ke hospital sebab jika air ketuban dah pecah, nanti baby akan lemas. Ibu mertua pun menasihati saya ke hospital.

Kemudian, saya ke hospital ditemani Ummi iaitu ibu mertua saya dan juga suami. Sampai di wad bersalin, saya masuk ke labour room dan jururawat meminta menukar pakaian. Saya memberitahu bahawa saya pecah air ketuban. Selepas itu, jururawat memeriksa bukaan jalan. Baru 2 cm, dan jururawat memberitahu saya akan dimasukkan ke wad sementara menunggu bukaan 4 cm. Saya dihantar ke wad bersalin, pada masa itu lebih kurang 9.50 pagi.

Disebabkan saya masih lagi belum merasai kesakitan semasa di dalam wad, saya sempat lagi berkenalan dengan penghuni wad. Ada yang masuk wad sebab masa mengandung ada kencing manis, ada yang alahan semasa mengandung dan ada juga yang baru bersalin. Kemudian saya berkenalan dengan seorang kakak tu, tapi saya lupa tanya nama dia. Kakak tu dia pun turun darah macam saya dan tak rasa sakit juga. Jadi kami berdua bersembang dan membincangkan mengenai tak rasa sakit lagi untuk bersalin.

Selepas zuhur, saya agak sedih sebab jururawat datang tanya saya, jika berlaku apa-apa, nak dihantar ke hospital mana sama ada Kuala Krai, Tanah Merah atau Kota Baharu. Jururawat tanya lagi sama ada saya pecah air ketuban atau macam mana. Diringkaskan cerita, sebenarnya saya bukan pecah air ketuban, saya turun darah. Jururawat bimbang jika pecah air ketuban, sepatutnya dah hampir nak bersalin.

Contraction bermula dalam pukul 3 petang. Sakit datang kejap-kejap. Kemudian saya memberitahu jururawat dan pukl 4.30 petang sekali lagi jururawat memeriksa bukaan jalan. Baru 3 cm. Saya tidak sabar menunggu pukul 5 petang waktu melawat. Sebelum itu saya memesan kepada Kak Dah agar membawa telur ayam kampong. Suami saya datang semasa waktu melawat, kemudian Kak Yah, Kak Dah dan Mak Su pun turut datang. Lupa saya nak memperkenalkan, Kak Yah adalah kakak saya yang kedua, Kak Dah pula kakak yang ketiga manakala Mak Su adalah mak tiri saya. Setelah ibu saya meninggal dunia, ayah saya mengahwini Mak Su.

Sebenarnya saya cukup terharu apabila adik-beradik saya datang melawat saya di hospital. Saya makan dua biji telur ayam kampong dan air tradisional yang dibawa oleh Kak Yah. Itu bukan air selusuh. Kebanyakkan orang yang bersalin aka nada air dan minyak selusuh. Tapi saya tak ada, saya bermohon pada Allah supaya dipermudahkan. Sejak turun darah sehingga dalam wad, saya pegang tasbih dan tak henti berselawat. Okay selepas itu saya minum air herba tersebut, contraction makin kuat. Masa itu keluarga saya ada, saya jadi sebak. Saya menangis sebab saya sebak dan juga sakit contraction yang datang. Mungkin sebab saya seorang yang mempunyai jiwa sensitif, mudah terharu. Saat-saat itu masih lagi dalam ingatan saya. Buat ahli keluarga saya dan ahli keluarga sebelah suami, terima kasih saya ucapkan. Mungkin saya tidak mampu membalasnya namun saya berdoa agar apa yang kalian buat mendapat rahmat dan ganjaran di sisi Allah SWT.

Cerita ini belum habis lagi, inshaallah saya akan kongsikan pengalaman seterusnya. 

02 January 2014

34 Weeks

Alhamdulilah, sudah melangkah ke tahun baru 2014. Begitu juga dengan peningkatan umur dan semoga dengan meningkatnya umur tahap kematangan pun meningkat. Dulu single, sekarang dah berdua. Dulu berdua, sekarang dah bertiga.

Syukur tahun 2013, banyak benda baru yang jamy belajar terutama dalam bab rumahtangga, tahap kesabaran dan bagaimana hendak berhadapan dengan masalah. InshaAllah semoga tahun baru 2014 lebih mematangkan jamy dalam soal kehidupan.

Tahun 2013 tidak dapat dilupakan sebab impian jamy ingin ada zuriat akhirnya tercapai. Tidak jamy duga, penantian jamy akhirnya termakbul. Allah Maha Mendengar doa hamba-hambanya, jadi jangan putus berdoa ye kawan-kawan. Terima kasih Ya Allah.

Kemudian tahun 2014, jamy tidak sabar menunggu kehadiran permata hati kami. Doktor kata due date bulan dua, dah tak lama kan tapi ramai yang tegur katanya dah tak lama dah baby akan keluar. Perasaan takut tu ada, tapi perasaan nak sambut orang baru lagi tidak sabar. Jadi kena jauhkan perasaan takut itu.

Semalam jamy demam, keesokan pagi jamy ke klinik ibu dan anak. Apabila doktor check, jamy tak demam sebab suhu badan adalah normal. Doktor kata kemungkinan virus sebab itu rasa macam demam. Jadi jamy banyakkan minum air masak, risau juga demam masa mengandung.

Lagipun, ibu mengandung tidak boleh mengambil ubat sebarangan. Dulu jamy pernah makan ubat demam yang jamy jumpa di rumah. Kemudian jamy cirit-birit, sejak hari itu jamy tidak berani lagi nak makan ubat sebarangan bimbang perkara yang sama akan berulang. Jadi ibu mengandung perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor sebelum makan sebarang ubat.

Okay la ye, jamy ingin ucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2014. Jangan lupa tulis matlamat untuk tahun ini dan semoga kita mendapat keberkatan Allah SWT.

17 December 2013

My LittLe CaLipH

Suasana pagi ini nampak redup, ayat pertama untuk pagi ini adalah menyebut 'Alhamdulilah'. Ini menunjukkan kita bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak terkira jika hendak dihitung.

Bangun pagi-pagi, usai solat Subuh, terus ke dapur untuk mengisi perut yang terasa lapar. Dua tiga hari ini, jamy kurang makan malam, sebab bila hendak tidur tidak selesa. Tambah-tambah lagi, perut makin memboyot, lenguh-lenguh belakang. Tidur tidak selesa seperti dulu. Bukankah itu nikmat seorang bakal ibu. Alhamdulilah sekali lagi kerana Allah makbulkan doa jamy.

Seroiusly, jamy nak kongsi dengan pembaca yang pernah lawat belog jamy ini, sejak jamy mengurut hari itu dan mak cik itu beritahu yang jamy macam dah tak lama lagi nak bersalin. Maksudnya awal dari tarikh due. Sejak hari itu, mind set jamy dah berubah, dan jamy selalu mimpi akan bersalin. Mungkin jamy terlalu berfikir..

Sekarang tendangan si kecil makin hebat dari biasa-biasa. Ini adalah pengalaman yang manis buat jamy. Maaf la ye, sebab jamy selalu bercerita perihal jamy mengandung. Sebenarnya jamy suka berkongsi cerita dan terpulang atas pembaca untuk menilainya. Tiada niat untuk melukakan hati sesiapa pun.

Alhamdulilah hampir 98% barang baby dah dibeli. Yang tinggal hanya beberapa kelengkapan lagi. Jamy bersederhana dalam membeli, bukan membeli dengan boros. Pilih barang yang menjadi keutamaan untuk si kecil. Antara barang yang jamy beli adalah :

-Baju lengan panjang
-Baju lengan pendek
-Sarung tangan & sarung kaki
-Pelapik getah
-Baby wipe
-Bedak
-Botol susu (tapi jamy berniat nak menyusukan baby sehingga dua tahun, kalau boleh tak nak bagi susu botol )
-Kelambu
-Beg pakaian baby
-Mandian baby
-Minyak telon
-Selimut
-Tuala baby
-Topi baby
-Baju dan seluar yang boleh dipakai ketika keluar bersiar-siar :)

Memang bakal ibu & bapa akan teruja menyambut anak pertama, ini adalah pengalaman pertama. Semoga dengan kehadiran cahaya mata, dapat menyerikan lagi ikatan rumahtangga. Amin :)

12 December 2013

Catatan 31 Minggu

Tetiba jamy rasa rindu nak update blog, rindu teramat sangat untuk menulis. Alhamdulilah jamy sihat walafiat. Kadang-kadang jamy macam sibuk untuk buka laptop dan mengadap laptop. Bila ada masa pula, jamy banyak berehat setelah penat membuat kerja-kerja rumah.

Banyak yang ingin dikongsikan, berita pertama adalah hubby jamy dah buka kelas Al-Quran di kawasan Machang. Jadi hubby dah mulai sibuk, bekerja dari hari Ahad hingga Khamis. Waktu bekerja adalah dari pukul 7.45 pagi hingga 12 tengahari. Maka tugas jamy pun mulai sibuk. Jamy akan bangun awal untuk membuat persiapan hubby ke tempat kerja. Alhamdulilah melakukan ikhlas kerana Allah.

By the way, jamy dah masuk 31 weeks usia kandungan jamy. Banyak juga la perubahan yang berlaku. 'Khalifah kecil' memang teramat aktif sampaikan jamy yang sedang tertidur akan tersedar. Memang amat aktif, jamy selalu doakan yang terbaik untuknya. Sebenarnya perasaan takut nak bersalin selalu ada, tapi bila fikir tak sabar nak jumpa dengan baby, kena buang perasaan takut itu. Doakan jamy dipermudahkan bersalin ye. Due date jamy inshaallah bulan Februari tahun depan.

Mengenai persiapan barang-barang baby, masih ada lagi yang belum dibeli. Tapi tak banyak sangat. Hari tu kami suami isteri shopping di Manjaku berhampiran dengan Tesco Kota Bharu. Banyak sangat barang-barang baby di situ sehinggakan kami berdua rambang mata nak beli yang mana satu.

Salam sayang dari jamy :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...